KUALA LUMPUR 15 April – Prestariang SKIN Sdn. Bhd. (PSKIN), anak syarikat Prestariang Bhd., memfailkan tuntutan undang-undang berjumlah RM732 juta terhadap kerajaan Malaysia kerana menamatkan Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN).
Prestariang berkata, jumlah tuntutan itu dikira berdasarkan formula kontrak yang disediakan di dalam perjanjian konsesi (CA) yang telah dipersetujui oleh kerajaan.
Katanya, pihak-pihak yang terlibat telah mengadakan beberapa siri rundingan tetapi tidak dapat mencapai penyelesaian yang baik bagi perkara berkenaan.
“Sebagai usaha terakhir, Lembaga Pengarah Prestariang kini terpaksa mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan pembayaran kontraknya,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.
Di bawah CA tersebut, PSKIN sepatutnya menerima bayaran berjumlah kira-kira RM3.5 bilion untuk tempoh selama 15 tahun tertakluk kepada keseluruhan perbelanjaan modal yang dibiayai secara persendirian oleh PSKIN.
Pembayaran kepada PSKIN oleh kerajaan hanya akan bermula selepas SKIN sepenuhnya beroperasi.
PSKIN memperoleh konsesi 15 tahun pada 9 Ogos 2017 untuk mereka bentuk, menyampaikan, mengekalkan secara berterusan dan menyediakan peningkatan yang dijadualkan untuk sistem kawalan imigresen dan pemeriksaan sempadan yang baharu untuk Jabatan Imigresen Malaysia.
Ia sebagai menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMS) yang sedia ada dengan fungsi tambahan.
PSKIN telah menjalankan kajian teknikal meluas bagi projek itu sejak tahun 2014 dan sejumlah besar perbelanjaan telah ditanggung oleh pihak syarikat
“PSKIN juga telah memeterai banyak kontrak dengan pihak ketiga untuk melaksanakan projek SKIN.
“Dalam tuntutan undang-undang yang dikemukakan, PSKIN menerangkan bahawa terdapat peruntukan jelas dalam CA tersebut yang menjelaskan kewajipan kerajaan Malaysia sekiranya projek tersebut ditamatkan secara sebelah pihak dengan cara pengambilalihan.
“Prestariang ingin menegaskan di sini bahawa PSKIN tidak pernah melanggar CA berkenaan,” jelasnya.
CA tersebut ditamatkan oleh kerajaan dengan cara pengambilalihan berkuat kuasa 22 Januari lalu.
Jumlah tuntutan dikira berdasarkan formula kontrak dalam CA
Tidak dapat mencapai penyelesaian
Di bawah CA itu, PSKIN sepatutnya menerima bayaran RM3.5 bilion
PSKIN memperoleh konsesi 15 tahun pada 9 Ogos 2017
PSKIN tidak pernah melanggar CA











