ALOR SETAR 14 April – Kekalahan kali ketiga berturut-turut Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) termasuk yang terbaharu di Rantau memberi isyarat jelas kepada gabungan itu untuk kembali bangkit termasuk memenangi semula hati golongan muda yang dilihat sudah beralih arah kepada Barisan Nasional (BN)
Dalam masa sama, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri, Mohammed Firdaus Johari turut memaklumkan bahawa PH perlu memainkan peranan yang berkesan dalam memberi penerangan kepada rakyat mengenai apa yang telah dilaksanakan kerajaan termasuk menunaikan pelbagai janji manifesto.
Beliau berkata, pihaknya akan mempertingkatkan usaha mendampingi golongan muda dan menyelami kemahuan serta harapan mereka terhadap kerajaan baharu ini.
“Kadang-kala apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan termasuk menunaikan hampir 30 peratus janji berkaitan soal ekonomi dalam manifesto yang tidak diketahui rakyat.
Kita akan mempertingkatkan usaha ini supaya penerangan dan maklumat dapat disampaikan kepada rakyat sehingga akar umbi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Keputusan rasmi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam menyaksikan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan memperoleh 10,397 undi menewaskan calon PH, Dr. S. Streram dengan majoriti 4,510 undi selepas pakar bius itu hanya memperoleh 5,887 undi.
Dua calon Bebas iaitu R. Malarvizhi dan Mohd. Nor Yassin pula masing-masing mendapat 83 dan 79 undi.
Tambah Mohammed Firdaus, kemenangan Mohamad sebenarnya sudah dijangka kerana sentimen pengundi terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu masih kuat.
Dalam masa sama, kerjasama UMNO dan Pas yang mengangkat sentimen perkauman turut mempengaruhi rakyat khususnya orang Melayu.
“Kita turun sebagai bukan pilihan menentang nama besar seperti Tok Mat (Mohamad) malah anak muda juga dilihat memberi undi kepada Tok Mat yang berjaya memenangi hati golongan tersebut. Apa pun kita berjaya memberi saingan yang baik dan diterima pengundi sepanjang tempoh kempen ini.
“Kekalahan ini bukan melemahkan semangat PH sebaliknya memberi kekuatan kepada kita untuk bangkit selepas ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











