REMBAU – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menafikan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram mungkin kurang dikenali berbanding calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, Mohamad telah 15 tahun menjadi wakil rakyat di Rantau berbanding Streram yang cuma beberapa tahun berkhidmat di kawasan itu.
“Ya mungkin. Tetapi kalau kita tengok Streram, dia sudah kerja di sini banyak tahun, sebelum Pilihan Raya Umum, selepas itu memang berada bekerja di bawah.
“Saya memang minta laporan mingguan daripada dia jadi memang tak sampai semua orang (kenal) berbanding 15 tahun Mohamad Hasan, tetapi tengok juga prestasinya, pembangunannya (Mohamad Hasan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkara itu oleh pemberita selepas menghadiri Majlis Bertemu Masyarakat India Kuala Sawah di Taman Sri Ramai, Rantau dekat sini malam tadi.
Streram menjadi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau PKR sejak tahun 2017.
Sementara itu, Anwar memberi bayangan kemenangan Streram dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau kali ini akan memudahkan tugas beliau membawa pembangunan ke Rantau yang bersempadan dengan Port Dickson.
Justeru, katanya, beliau amat mengharapkan pengundi DUN Rantau memberi kemenangan kepada Streram supaya usahanya membawa pembangunan ke Rantau yang bersebelahan dengan Port Dickson menjadi lebih mudah.
Terdahulu, beliau dalam ucapannya berkata, tiada masalah untuk mana-mana bangsa menjadi pemimpin negara asalkan mereka baik, bersih dan tidak rasuah.
Beliau yang mempertahankan PH meletakkan calon berbangsa India pada PRK DUN Rantau berkata, tidak timbul soal risiko kepada survival Melayu jika sokongan diberikan kepada PH.
“Kalau lantik dari kaum Melayu tetapi korup, zalim, maka kaum India, Cina, Melayu pun tidak akan survive. Tak perlu takut pilih calon bukan Melayu,” katanya.











