KUALA LUMPUR 12 April – Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah sebuah kereta dinaiki seorang lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Taman Melawati di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, lelaki terbabit yang memandu kereta Honda CRV dilihat anggota Unit Rondaan Bermotosikal dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintenden Mohd. Zaid Hassan berkata, susulan itu, anggota URB terlibat kemudiannya mengarahkan kenderaan suspek untuk berhenti.
Ujarnya, namun lelaki tersebut enggan memberhentikan kenderaannya lalu bertindak mengundurkan keretanya sebelum melanggar dua motosikal anggota URB untuk melarikan diri.
“Berikutan itu, anggota terlibat terpaksa melepaskan tembakan di tayar hadapan dan belakang sebelah kanan Honda CRV tersebut dan menyebabkan kereta itu terbabas lalu melanggar empat kenderaan lain.
“Lelaki terbabit kemudiannya ditahan sebelum pihak kita melakukan satu lagi tangkapan terhadap rakan suspek yang turut berada di situ menaiki sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Vellfire,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Zaid memberitahu, hasil pemeriksaan lanjut dalam kenderaan tersebut menemukan sebilah parang panjang, dua kunci pendua yang diubah suai, spanar (4) dan pemutar skru (5).
Jelasnya, turut ditemukan iaitu lima pemotong besi, pemutar skru tayar (3) dan topeng muka serta sepasang sarung tangan dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan pecah rumah.
“Semakan lanjut ke atas kedua-dua kenderaan yang dipandu lelaki masing-masing berusia 25 dan 38 tahun itu merupakan kenderaan curi.
“Kedua-dua lelaki tersebut yang mana seorang daripanya memiliki rekod lampau kini ditahan reman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958.” katanya.
Sejak semalam, tular beberapa video berkenaan kejadian tersebut tular di laman sosial Facebook memaparkan aksi pihak polis mengejar suspek di lokasi kejadian.-UTUSAN ONLINE











