KAJANG – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan peningkatan 100 peratus secara berterusan untuk kecekapan perkhidmatan penyampaian maklum balas secara online serta imej kepada pelanggan.
Ketua Pegawai Operasi PKNS, Norita Mohd. Sidek berkata, purata keseluruhan kepuasan pelanggan menunjukkan prestasi yang baik iaitu 80 peratus daripada 300 maklum balas yang diterima berjaya diselesaikan bagi tempoh Januari sehingga Disember tahun lalu.
“Ia termasuklah perkhidmatan semasa urusan jualan, hartanah yang dibeli dan perkhidmatan penyelenggaraan.
“Pada hari ini (kelmarin), kami juga menerima lebih 3,000 maklum balas daripada pelanggan yang menjadikan platform PKNS lebih efektif selain boleh diisi pada bila-bila masa secara online,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Sistem Maklum Balas Pelanggan secara online sempena Program Hari Bersama Pelanggan PKNS di Dewan Komuniti Seksyen 7, Bandar Baru Bangi di sini kelmarin.
Turut hadir Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Selatan, Lokman Abd. Kadir.
Menurutnya, langkah itu bertujuan mendidik pelanggan dan masyarakat untuk menggunakan saluran yang betul bagi menyatakan maklum balas mereka.
“Maklum balas pelanggan secara digital sama ada positif atau negatif penting kepada PKNS kerana ia menjadi kayu pengukur kepada prestasi kami.
“Ia turut menjadi input untuk perancangan, penambahbaikan dan penilaian Bahagian Perkhidmatan Pelanggan selaras dengan nilai bersama pelanggan diutamakan serta komited ke arah kecemerlangan,” jelasnya.
Sementara itu, mengulas mengenai program tersebut, Norita berkata, Hari Bersama Pelanggan selama dua hari itu juga merupakan pendekatan PKNS menawarkan perkhidmatan melalui interaksi dan perhubungan yang mesra, telus, cekap serta mencapai sasaran meningkatkan kualiti perkhidmatan.
Orang ramai boleh melayari laman web rasmi untuk maklum balas PKNS, www.maklumbalas.pkns.gov.my.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











