PKNP tekad kecewakan Melaka United - Utusan Malaysia

PKNP tekad kecewakan Melaka United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 APRIL – Selepas melakar dua kemenangan berturut-turut ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim menggesa anak-anak buahnya mengekalkan konsisten bagi menghadapi Melaka United dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, esok.

Abu Bakar yang merupakan bekas pemain Perak berkata PKNP perlu mengutip mata maksimum daripada tiga perlawanan terakhir sebelum Liga Super memasuki pusingan kedua dalam usaha mereka untuk kekal relevan pada saingan liga.

“Sebelum ini, kami terpaksa bergelut dengan masalah prestasi namun dua kemenangan yang diraih dalam aksi sebelum ini membolehkan kami mengubah kedudukan dalam carta liga. Kami berupaya meledak enam gol dan cuma bolos satu gol sahaja, semestinya kami perlu mengekalkan aksi tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami perlu merapatkan kedudukan dengan pasukan pertengahan sebelum saingan liga memasuki pusingan kedua. Jadi, baki tiga perlawanan ini kami perlu mengutip mata sebanyak yang boleh.

“Kenaikan graf pasukan perlu dilakukan walaupun perlahan kerana pada penghujung saingan liga nanti kami perlu memastikan bahawa kami kekal beraksi dalam Liga Super untuk musim depan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selepas ini PKNP FC akan bertemu Selangor di Shah Alam pada 20 April ini kemudian Perak di laman sendiri (27 April) dan Terengganu (4 Mei) di Manjung.

Bercakap mengenai kecederaan, jurulatih berusia 47 tahun itu memberitahu dua pertahanannya, Filemon Anyie Standly dan Ezanie Salleh tidak dapat diturunkan.

“Filemon retak tulang bahu ketika bertemu Kuala Lumpur (30 Mac) manakala buku lali Ezani mengalami bengkak. Tidak mengapa kerana saya boleh melakukan penggiliran terhadap pemain. Pemain tengah, Sukri Hamid yang sebelum ini digantung dua perlawanan dapat diturunkan esok,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini