KUALA LUMPUR 30 April – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan hari ini telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menjaga kepentingan agama Islam dan umatnya di negara ini.
Justeru beliau menafikan umat Islam terancam di bawah Pakatan Harapan (PH) dan beranggapan pihak yang mendakwa suara ‘mempertahankan Islam’ sukar kedengaran dalam kalangan pemimpin pentadbiran hari ini kerana mereka ‘pekak’.
“Fasal dia ‘pekak’. Kita buat macam-macam untuk orang Islam, untuk Islam tapi dia tak dengar,” katanya kepada pemberita selepas Malam Anugerah dan Majlis Makan Malam Gala Persatuan Pertubuhan Pengurusan Asia (AAMO) ke-20 di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Mufti Perlis, Mohd. Asri Zainul Abidin menerusi kenyataan dalam laman Facebook beliau bahawa suara ‘mempertahankan Islam’ sukar kedengaran dalam kalangan pemimpin pentadbiran hari ini.
Dakwa Mohd. Asri, perkara itu menjadikan rakyat makin akur Islam ‘berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat’ bawah pimpinan kerajaan PH. – BERNAMA











