Penutupan jalan sempena LTdL Sabtu ini - Utusan Malaysia

Penutupan jalan sempena LTdL Sabtu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 April – Beberapa laluan di sekitar ibu kota dan di tiga negeri akan ditutup sempena perlumbaan basikal Le Tour De Langkawi (LTdL) 2019 yang bermula Sabtu hingga 13 April ini.

Penganjur LTdL dalam satu kenyataan memaklumkan, penutupan jalan dan lencongan akan dilakukan secara berperingkat oleh Bahagian Trafik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi semua kenderaan di 13 lokasi berbeza.

Antara laluan sekitar ibu kota yang terlibat ialah di Menara Berkembar Petronas (KLCC), Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Loke Yew, Jalan Cheras, Jalan Kuari, Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2), Jalan Mawar dan Jalan Teratai 1/2.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penutupan jalan pada 6 April ini akan bermula pada pukul 6.30 pagi hingga 2.25 petang.

Turut terlibat, jalan di sekitar Selangor ialah Jalan Taman Putra, Jalan Hulu Langat, Pekan Batu 14, Pekan Batu 18 dan Jalan Sungai Linggi yang akan ditutup dari pukul 7 pagi hingga 7 malam, hari yang sama.

Sementara itu, beberapa laluan di Negeri Sembilan turut dilencong pada Sabtu ini antaranya di Genting Peres, Jalan Titi, Kuala Kelawang, Pantai, Ampangan, Bukit Putus, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, Senaling dan Tampin ditutup dari pukul 7 pagi hingga 7 malam.

Laluan yang akan ditutup pada Ahad ini pula melibatkan laluan di Bukit Putus, Kuala Pilah, Jalan Juasseh, Jalan Baharu dan Jalan Rompin dari pukul 6.30 pagi hingga 2.45 petang.

Manakala Jalan Gemencheh, Bukit Rokan, Johol, Bukit Miku dan Kota di Negeri Sembilan ditutup dari pukul 7 pagi hingga 7.30 malam, hari sama.

Di Melaka, laluan sekitar Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Alor Gajah, Cheng, Peringgit, Jalan Taming, Sari, Jalan Bendahara, Jalan Laksamana dan Jalan Merdeka akan ditutup pada Ahad ini dari pukul 7 pagi hingga 7.30 malam.

Orang ramai terutama peminat sukan berbasikal yang bercadang untuk menyaksikan aksi perlumbaan LTdL dinasihatkan menggunakan laluan alternatif atau perkhidmatan pengangkutan awam dan mematuhi arahan lalu lintas untuk keselamatan.

Maklumat lanjut boleh terus melayari laman web LTdL 2019 di www.ltdlangkawi.my atau Facebook, Twitter dan istagram @ltdlangkawi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini