Pengundi Rantau telah bersuara - Utusan Malaysia

Pengundi Rantau telah bersuara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 April – Kemenangan selesa Datuk Seri Mohamad Hasan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau membuktikan rakyat telah bersuara dengan membuat pilihan menolak Pakatan Harapan (PH).

Demikian pendapat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut menganggap mesej dalam PRK DUN Rantau sudah cukup jelas kerana suara Mohamad dalam arena politik amat diperlukan kerana rakyat mahu Barisan Nasional (BN) menentang kezaliman PH.

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak 

Jelas Najib, tindakan PH yang menggunakan pelbagai taktik kotor termasuk menabur duit dan berkempen melampaui batas undang-undang pilihan raya sungguh berbeza dengan BN yang hanya berbekalkan khemah, kipas dan motosikal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami berdepan dengan gergasi-gergasi dari PH yang mempunyai jentera kerajaan Persekutuan dan negeri selain sumber dana yang besar. Kita juga tidak lupa pemberian kupon makanan, taktik kotor menaikkan kain rentang berunsur perkauman tetapi menyalahkan BN dan laungan provokasi menakutkan pengundi seolah-olah penyatuan ummah adalah ala Taliban.

“Tindakan mereka mengungkit kisah dan sejarah lama kewangan peribadi Mohamad juga amat keji dan bagaikan begitu terdesak sedangkan diketahui umum bahawa beliau adalah tokoh korporat yang amat berjaya sejak sekian lama sebelum menyertai politik,” katanya dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

Keputusan rasmi PRK DUN Rantau menyaksikan Mohamad memperoleh 10,397 undi menewaskan calon PH, Dr. S. Streram dengan majoriti 4,510 undi selepas pakar bius itu hanya memperoleh 5,887 undi.

 

Dua calon Bebas iaitu R. Malarvizhi dan Mohd. Nor Yassin pula masing-masing mendapat 83 dan 79 undi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini