LUWUK, Indonesia 13 April – Sejumlah penduduk yang masih dilanda ketakutan susulan kejadian gempa bumi melanda Sulawesi semalam enggan pulang ke rumah masing-masing biarpun pihak berkuasa sudah menarik balik amaran tsunami.
Seorang penduduk di bandar ini dilaporkan maut akibat terjatuh ketika melarikan diri apabila gempa berlaku, namun Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) tidak melaporkan sebarang kematian atau kecederaan berlaku akibat bencana alam terbabit.
BNBP menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa keadaan kini kembali stabil dengan kira-kira 1,300 penduduk sudah pulang ke kediaman masing-masing.
Namun, terdapat segelintir kecil penduduk yang enggan pulang ke rumah mereka kerana bimbang sekiranya gempa berulang dan mencetuskan tsunami. – AFP











