GOPENG – Orang awam dan penduduk di sekitar Kampung Pintu Padang di sini yang mahu melakukan usaha mencari dan menyelamat (SAR) peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohammad Ashraf Hassan yang hilang sejak bulan lepas perlu melaporkannya kepada Balai Polis Gopeng.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, pihaknya tidak menghalang orang awam dan penduduk kampung untuk melakukan usaha pencarian mengikut kaedah mereka sendiri namun elemen keselamatan perlu menjadi keutamaan.
Katanya, segala usaha pencarian yang telah disusun atur oleh mana-mana pihak secara sukarelawan dari awal usaha SAR dilakukan, pihaknya tidak pernah menerima rekod maklumat berkenaan.
“Kita telah uar-uarkan kepada orang ramai (perlu melaporkan kepada polis) dan kita sediakan buku untuk direkodkan maklumat tetapi tidak ada yang datang memberi maklumat.
“Kita mahu mereka yang menyertai usaha pencarian pergi dan balik dalam keadaan yang selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Program Polis Masuk Kampung anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar di sekitar Gopeng di sini hari ini. – Bernama











