KUALA KANGSAR – Seorang pemandu bas maut manakala tiga penumpang cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka melanggar belakang sebuah treler muatan besi di Kilometer 231.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 4.05 pagi itu, mangsa, Mohd Hafisol Lat, 43, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah manakala tiga penumpang mengalami pelbagai kecederaan lain termasuk seorang wanita berusia 23 tahun yang sedang mengandung mengalami patah paha kiri.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati bas yang membawa enam penumpang itu sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Alor Setar manakala treler itu juga dari ibu negara ke Perai, Pulau Pinang.
“Tiba di tempat kejadian, treler dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun itu yang berada di lorong kiri secara tiba-tiba mengubah haluan dan memasuki lorong kanan bagi mengelak daripada melanggar sebuah kenderaan yang berhenti di bahu jalan.
“Sebaik sahaja kenderaan membawa muatan besi itu berada di lorong kanan, bas yang dipandu mangsa datang dari belakang di lorong sama telah merempuh belakang treler itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Razali, akibat kemalangan tersebut, pemandu bas berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk proses bedah siasat.
“Tiga penumpang masing-masing mengalami kecederaan patah paha kanan dan kepala. Mereka dirawat di Hospital Taiping manakala tiga lagi penumpang tidak cedera.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE











