PRIHATIN. Seramai 40 pelajar Bachelor Sains (Dietetik), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Karnival Kesihatan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Karnival di bawah program Jalinan Ihsan Warga Ampang (JIWA) itu memberi fokus kepada sesi interaksi antara pelajar bersama kira-kira 250 penduduk di kawasan tersebut mengenai amalan hidup sihat menerusi pemakanan.
Penyelaras program, Dr. Siti Nor Asyura Adznam berkata, ia adalah hasil kajian awal pelajar tahun akhir Bachelor Sains (Dietetik) UPM terhadap penduduk di PPR berkenaan yang berumur 50 tahun ke atas baru-baru ini.
Karnival berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pertubuhan Aktiviti Warga Emas (PAWE) PPR Hiliran Ampang.











