Pelabur dakwa ditipu syarikat jualan kopi - Utusan Malaysia

Pelabur dakwa ditipu syarikat jualan kopi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 13 April – Lebih 10 pelabur terdiri daripada pesara, kakitangan awam dan peniaga di negeri ini mendakwa mereka kerugian lebih RM13 juta selepas menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat jualan kopi terkenal sejak tahun 2015.

Mereka mendakwa pengasas syarikat kopi itu yang bergelar Datuk Seri kini melarikan diri ke negara jiran selepas mengaut keuntungan daripada pelaburan tersebut yang jelas menyebabkan mangsa tidak mendapat sebarang pulangan.

Kebanyakan mereka mendakwa kerugian antara RM10,000 hingga RM250,000 kerana terpedaya dengan tawaran pakej pelaburan syarikat itu yang mulanya menjanjikan sama ada kopi atau barangan lain mengikut pilihan ahli berserta hibah tunai secara tetap setiap bulan selama 12 bulan mengikut pakej yang ditetapkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Salah seorang mangsa yang merupakan pesara wanita, Salamah Shamsudin, 57, mendakwa, dia kerugian RM50,000 apabila wang yang dilaburkan sejak tahun 2015 lenyap begitu sahaja.

Selain terpaksa menanggung hutang pinjaman bank, dia juga terpaksa melupakan niatnya untuk mengerjakan ibadat haji apabila keseluruhan wang simpanannya di Tabung Haji dikeluarkan untuk pelaburan itu.

“Saya mahu menambah pendapatan selepas bersara lalu menyertai skim pelaburan dengan syarikat kopi dengan modal RM40,000 menerusi pinjaman bank dan kemudian saya tambah lagi RM10,000 daripada Tabung Haji.

“Bagaimanapun, sehingga kini segala yang diharapkan punah malah terpaksa menanggung bebanan hutang bank,” katanya ketika ditemui bersama lebih 10 mangsa lain di Kampung Hulu di sini hari ini.

Salamah berkata, mereka sudah beberapa kali cuba menghubungi pengasas syarikat itu untuk berbincang mengenai masalah ini namun langsung tidak mendapat kerjasama dan difahamkan dia kini melarikan diri ke negara jiran.

“Apa yang kami mahu adalah duit pelaburan, pulangkan hak kami dan jangan aniaya seperti ini. Disebabkan ini ada diantara ahli yang bercerai berai dan meninggal dunia kerana tertekan dengan bebanan hutang,” katanya.

Berikutan kejadian itu, difahamkan beberapa laporan polis dibuat oleh kebanyakan mangsa dari negeri ini secara berperingkat-peringkat mendesak supaya tindakan diambil terhadap pengasas syarikat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad dan Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Arshad Abu ketika dihubungi malam ini mengesahkan ada menerima laporan berhubung kes tersebut.

Mereka berkata, semua laporan yang diterima disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kes penipuan.

Seorang lagi mangsa, Bajili Bakri, 34, mendakwa, syarikat tersebut yang diasaskan di utara tanah air mula beroperasi sejak 2013.

“Setiap ahli hanya perlu mengeluarkan modal membeli produk sebagai contoh jika ahli mengambil pakej RM10,000, mereka akan mendapat pulangan kira-kira RM600 setiap bulan selama setahun dan diberikan produk antaranya kopi,” katanya yang mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM40,000. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini