MELAKA – Seorang pekerja kilang maut manakala rakannya cedera selepas motosikal ditunggangi mereka terbabas sendiri di Jalan Dato Mohd. Zin di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi itu, mangsa Jefpini Jok, 40, dari Lawas, Sarawak meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Merdeka Permai menuju Taman Merdeka.
“Setiba di tempat kejadian, motosikal ditunggangi dua lelaki itu telah terbabas sendiri dan melanggar batu pembahagi lorong.
“Kepala penunggang terbabit dipercayai telah terhentak di batu pembahagi dan tiang lampu menyebabkannya maut di lokasi manakala pembonceng sedang menerima rawatan di zon kuning Hospital Melaka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











