KOTA KINABALU 29 April – Pelan Kesinambungan Perkhidmatan (PKP) di setiap pejabat daerah di Sabah adalah penting bagi memastikan tadbir urus berkualiti dan berterusan, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata jangkaan besar komuniti luar bandar terhadap pembangunan di kawasan mereka boleh ditangani sekali gus direalisasikan dengan lebih baik apabila para pegawai di pejabat daerah menerapkan semangat dan jiwa luar bandar.
“PKP pegawai daerah sangat penting bermula dengan menempatkan pegawai baharu gred 41 di pejabat daerah supaya mereka dapat menjiwai aspirasi luar bandar dan proses tadbir urus bermula di peringkat kampung.
“Ini adalah antara perkara dibincangkan dalam pertemuan saya dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Hashim Paijan) pagi tadi dan saya percaya ini akan dapat membantu menyediakan mereka menjadi seorang pegawai daerah atau penolong pegawai daerah lebih cemerlang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, hari ini.
Ewon turut mengesyorkan supaya lebih ramai pegawai muda gred 41 diberi peluang berkhidmat di beberapa pejabat daerah luar bandar di Sabah bagi memberi pendedahan awal kepada mereka tentang tugas perlu dilakukan di pejabat daerah.
Usaha itu juga akan memberi pengalaman lebih luas kepada mereka dalam mengetuai pentadbiran daerah, katanya.- BERNAMA











