ALOR SETAR – Cubaan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi di bawah longgokan kayu dan papan bagi mengelak dikesan penguat kuasa imigresen gagal apabila mereka ditahan dalam serbuan Ops Mahir di tapak pembinaan di Bukit Selambau, Sungai Petani dekat sini semalam.
Dua warga asing itu merupakan antara 61 PATI yang dicekup dalam serbuan di lokasi tersebut antara pukul 11.20 pagi hingga 1.30 petang semalam.
Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin berkata, seramai 24 penguat kuasa imigresen terlibat dalam operasi tersebut.
Berita berkaitan:
“Seramai 75 orang terdiri daripada pelbagai warganegara telah diperiksa dan seramai 61 orang ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Mereka yang ditahan melibatkan 46 lelaki dan dua wanita warga China, lapan lelaki Bangladesh serta lima lelaki Myanmar berusia antara 24 hingga 60 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, siasatan awal mendapati mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.
“Mereka turut disiasat mengikut Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah,” ujarnya.
Tambahnya, semua PATI tersebut ditahan di lokap bangunan Kementerian Dalam Negeri di sini untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan ke Depot Imigresen Belantik, Sik dekat sini. – K! ONLINE











