TARIKH 18 Mac 2019 lalu menjadi satu tarikh keramat yang tidak akan dilupakan penduduk dunia, khususnya mereka yang terlibat dengan tragedi sedih ini.
Dunia masih trauma dengan kejadian serangan berdarah akibat tembakan rambang yang dilakukan di dua masjid di Christchurch, New Zealand. Seramai 50 orang terbunuh dan lebih daripada 50 orang didapati cedera parah.
Tragisnya, aktiviti pembunuhan ini dirakam secara terus melalui Facebook Live. Keberanian pembunuh merakamkan segala tindakannya amat menakutkan. Ia ibarat sebuah lakonan dan cara tembakannya seperti sedang menembak musuh di dalam sebuah permainan.
Apa yang membimbangkan, permainan video ini adalah antara aktiviti yang sering dilakukan oleh anak-anak kita terutamanya ketika musim cuti sekolah.
Anak-anak yang ditinggalkan bekerja oleh ibu bapa memenuhi masa lapangnya dengan duduk di hadapan komputer atau televisyen dengan bermain video. Malah ada menggunakan telefon pintar.
Terdapat pelbagai jenis permainan video yang terdapat di pasaran seperti role playing game (RPG), simulasi, sukan, pengembaraan dan aksi.
Terpulang kepada pemain untuk memilih permainan yang digemari berdasarkan citarasa masing-masing.
Antara permainan video yang sedang viral dalam kalangan anak-anak ini ialah permainan tembak-menembak atau permainan termasuk di bawah kategori role playing game (RPG) seperti Counter Strike (dilancarkan pada tahun 1999) dan Player Unknown Battle Ground (PUBG) (dilancarkan pada tahun 2017).
Pada zaman teknologi di hujung jari ini, permainan video sebegini sangat mudah untuk diperoleh. Ia boleh dimuatturun dari internet secara percuma.
Setelah dipasang di peranti masing-masing, pemain boleh memilih kaedah atau mod permainan, jenis senjata, lokasi pertempuran dan sebagainya.
Permainan ini bersifat ganas dan sangat tidak sesuai untuk anak-anak kita yang masih bersifat kain putih. Apabila didedahkan dengan permainan sebegini, minda separa sedar mereka akan terpengaruh dengan perbuatan tersebut.
Perbuatan ganas ini akan membawa kepada penipisan sikap perikemanusiaan. Lebih membimbangkan, apa yang dilihat dan dibuat di dalam permainan maya itu akan terbawa-bawa ke dunia nyata. Anak-anak ini akan berasa tembak menembak adalah perkara yang normal dan tidak berdosa.
Apabila sudah menjadi kebiasaan dan ketagihan, tidak mustahil binatang peliharaan dan ahli keluarga terdekat akan menjadi mangsa.
Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa dan orang dewasa untuk memerhatikan bentuk permainan video anak-anak kita. Pastikan permainan dimainkan anak-anak kita selamat, bermoral dan tidak ada unsur keganasan.
Secara alternatif, ibubapa boleh menggantikan permainan video ini dengan aktiviti yang lebih sihat dan berkualiti. Contohnya dengan membelikan bahan bacaan yang menarik, merancang percutian bersama keluarga, membuat aktiviti harian bersama dan sebagainya.
Aktiviti sihat yang dilaksanakan di rumah akan menjadi kebiasaan dan membentuk sahsiah anak-anak kita. Dengan ini budaya ganas dan negatif dapat dielakkan.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Undang-Undang, UiTM Johor.









