KUALA LUMPUR 16 April – Golongan belia perlu merebut peluang dalam sektor pertanian dan penternakan untuk menjadi usahawan agro yang berjaya dalam usaha memerangi kemiskinan dan peluang untuk mendapat pekerjaan di negara ini.
Golongan tersebut mewakili jumlah besar dalam populasi rakyat dengan kira-kira 14 juta orang mampu memainkan peranan besar untuk mencorak harapan dan masa depan yang lebih cerah.
Presiden Persatuan Alumni Institut Veterinar Malaysia, Mohd. Jalaludin Musa berkata, golongan muda perlu menyahut cabaran untuk berjaya dalam bidang keusahawanan terutamanya dalam bidang pertanian dan penternakan dengan menyertai program agropreneur muda yang disediakan oleh agensi kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Beliau yang juga Merangkap Ahli JawatanKuasa Biro Pertanian Dan Industri Asas Tani Malaysia Belia Malaysia memberitahu, peluang tersebut perlu direbut oleh golongan berkenaan kerana menawarkan masa depan yang cerah selain mampu memberi pendapatan lumayan kepada mereka.
“Ini landasan terbaik kepada golongan muda untuk mencabar potensi diri mereka menerusi program agropreneur muda dan peluang sebegini tidak harus dilepaskan terutama oleh golongan belia kerana mereka masih lagi kuat dan peluang untuk berkembang lebih maju lagi.
“Dengan penglibatan lebih ramai belia dalam bidang pertanian dan penternakan dapat mengurang kebergantungan terhadap bahan import makanan dari negara lain pada masa akan datang. Jika keperluan dalaman rakyat Malaysia mencukupi, maka kita tidak perlu mengimport bahan makanan ini daripada negara luar,” katanya.
Dalam masa sama bidang pertanian menjadi tonggak asas kepada kehidupan manusia baik dari segi sumber makanan, kewangan dan ekonomi selain bidang tersebut juga akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.











