RATU skuasy negara, Datuk Nicol David gagal mara ke suku akhir kejohanan Skuasy Terbuka DPD 2019 selepas kalah kepada juara bertahan dunia, Nour El Sherbini dari Mesir pada perlawanan pusingan kedua di Eindhoven, Belanda awal pagi semalam.
Sherbini, pilihan kedua kejohanan terbukti terlalu gagah buat pemain kelahiran Pulau Pinang itu apabila menang selesa 11-8, 11-4, 11-2 dalam tempoh hanya 21 minit.
Mengulas kekalahan itu, Nicol berkata, Sherbini berada di kedudukan terbaik untuk memenangi perlawanan itu meskipun beliau memberi tentangan habis-habisan, namun lawannya itu membuktikan dia ialah pemain terbaik di dunia.
“Dia (Sherbini) masih meneruskan aksi cemerlangnya dan saya amat kagum dengan tiga kejuaraan dunia yang diraihnya setakat ini,” kata Nicol yang dipetik berkata pada laman web kejohanan, www.dpdopensquash.com.
Nicol yang tinggal di Amsterdam mengucapkan terima kasih kepada penduduk tempatan yang sentiasa memberi sorakan galakan kepadanya sejak 16 tahun lepas terutamanya apabila beliau memenangi dua kejuaraan dunia di negara Eropah.
“Sungguh hebat apabila ada pasukan sorakan yang memberi galakan dan menyokong saya sehingga ke penamat.
“Saya fikir cara penduduk dan cara SquashCity itu menjadikan mereka sebuah keluarga sebenar kepada saya yang berada jauh dari tanah air. Memang seronok berada di sini dan saya rasa belum puas, ia amat hebat, begitu banyak kenangan indah,” kata Nicol.
Nicol yang akan bersara pada akhir musim ini merakamkan penghargaan kepada bekas legenda skuasy Australia, Liz Irving yang sentiasa bersama sepanjang jatuh bangun kerjayanya sejak 16 tahun lepas.
Sementara itu, Sherbini berkata, bermain menentang Nicol yang merupakan antara legenda sukan skuasy sejak beberapa dekad lepas adalah detik istimewa dalam hidupnya.
“Saya telah beberapa kali berdepan dengan beliau dan perlawanan itu sentiasa istimewa. Beliau banyak berjasa kepada sukan kita dan saya pula banyak belajar daripadanya. Semasa usia saya masih muda, saya sentiasa menyanjung beliau, jadi memang sukar untuk bermain menentangnya,” kata Sherbini. – Bernama











