'Mujur ada jiran, kalau tidak leher makcik dikelar' - Utusan Malaysia

‘Mujur ada jiran, kalau tidak leher makcik dikelar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERANG 29 April – “Makcik selamat sebab tuhan nak tolong, kalau jiran sampai lambat leher makcik mungkin dah kena kelar”.

Demikian luah Che Nah Isa, 69, yang nyaris maut apabila hampir dikelar anak kandungnya sendiri dalam kejadian di Kampung Tanjung Piring Nami di sini, semalam.

Menurutnya, sehingga kini dia masih trauma apabila sering terbayangkan kejadian dia hampir dikelar dengan sebilah sabit oleh anak bongsu daripada enam beradik itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak boleh pergi ke ruang dapur kerana seperti nampak suspek berdiri sambil memegang benda tajam dan mahu menyerang saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung Piring Nami, hari ini.

Menceritakan semula kejadian itu, katanya, suspek tiba-tiba menarik tangannya ke ruang dapur sebelum menolaknya sehingga terjatuh di atas lantai.

“Anak saya kemudian duduk di atas badan sambil mengilas kaki saya sebelum meletakkan sabit pada leher.

“Saya terus menjerit dan menolak sabit itu sekuat hati sebelum beberapa jiran datang menarik anak saya,” ujarnya.

Katanya lagi, dia terus keluar dari rumah dan meminta bantuan jiran lain untuk menghubungi polis.

“Makcik bersyukur kerana jiran cepat datang, kalau lewat nyawa makcik pasti melayang,” katanya.

Menurutnya lagi, suspek mungkin bertindak sedemikian kerana tertekan ekoran tiada duit untuk membeli dadah.

“Dia biasanya minta RM3 daripada makcik dan kejadian berlaku mungkin sebab dia tertekan tiada duit untuk beli dadah,” ujarnya.

Tambahnya, suspek pernah dimasukkan ke pusat serenti pada 2007 dan berhenti sekejap mengambil dadah sebelum kembali menagih kira-kira sebulan lalu.

“Sejak menagih, dia kerap mengamuk dan mengugut mahu memukul dua anak lelakinya berusia 12 dan 14 tahun,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini