KUALA LUMPUR 12 April – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam media sosial.
Malah, beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun menyiasat kes tersebut dengan segara dan mengambil tindakan sewajarnya untuk membawa pelaku jenayah ke muka pengadilan.
“Saya kecam sepenuhnya kumpulan yang menggelarkan diri mereka Sabah-Sarawak Merdeka. Tindakan mereka mengubah gambar Seri Paduka adalah perbuatan menghina raja yang melanggar undang-undang negara.
“Ini adalah perbuatan melampau yang tidak melambangkan tatasusila rakyat Malaysia serta bercanggah dengan prinsip Rukun Negara,” kata beliau menerusi kenyataan dalam laman Facebook rasminya di sini hari ini.
Muhyiddin turut menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara dengan niat untuk mencetuskan keadaan tidak harmoni dalam masyarakat. – UTUSAN ONLINE











