KUALA LUMPUR 13 April – Kejayaan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau disifatkan sebagai mesej jelas Pakatan Harapan (PH) ditolak rakyat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga berpendapat Mohamad merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) paling sesuai bagi membela nasib rakyat di Rantau.
“Kemenangan Tok Mat (Mohamad) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau adalah suatu mesej bahawa PH telah ditolak oleh pengundi yang merasakan mereka telah tersalah sokong pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
“Tok Mat juga ADUN paling sesuai untuk rakyat Rantau biarpun mereka berisiko mengundi calon pembangkang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
PRK DUN Rantau melibatkan hampir 21,000 pengundi dengan 55.11 peratus daripadanya adalah Melayu, Cina 18.80 peratus dan India 26.06 peratus.
Keputusan rasmi PRK DUN Rantau menyaksikan Mohamad memperoleh 10,397 undi sekali gus berjaya menewaskan pencabar terdekat dari PH, Dr. S. Streram yang hanya memperoleh 5,887 undi.
Dua calon Bebas iaitu R. Malarvizhi dan Mohd. Nor Yassin pula masing-masing mendapat 83 dan 79 undi. – UTUSAN ONLINE











