Menggarap hubungan luar - Utusan Malaysia

Menggarap hubungan luar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERCAKAP mengenai hubungan luar negara, lazimnya tumpuan lebih diberikan kepada jumlah konvensyen antarabangsa yang disertai sesebuah negara.

Jelaslah apabila Malaysia antara negara yang tidak menyertai beberapa konvensyen antarabangsa, kita sering dicemuh dan dikatakan mundur. Sebenarnya, dasar luar sesebuah negara adalah lebih daripada itu.

Hakikatnya beberapa negara maju sendiri enggan menyertai beberapa konvensyen antarabangsa walaupun mereka sering kali mempromosi negara-negara lain bagi menyertainya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seolah-olah terdapat dua standard yang digarap iaitu untuk negara kuasa besar dan negara kecil. Hakikat ini bagi memastikan negara-negara kecil terus dikongkong dan dikawal oleh kuasa besar.

Dasar luar sesebuah negara adalah penzahiran kehendak dan norma dalaman negara kepada dunia luar. Pegangan suatu negara yang diterima akar umbi bukan mengimport norma atau nilai antarabangsa yang jelas bertentangan dengan budaya dan kultur tempatan.

Sejajar Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Malaysia sebagai negara Islam dan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan Ketua Agama Islam adalah amat penting untuk ditegaskan di dalam negara dan luar negara.

Malah, bukan sahaja Perlembagaan Persekutuan meletakkan kedudukan tinggi Islam sebagai agama negara ini dan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam, Undang-Undang Tubuh semua negeri di Malaysia selain Sarawak juga meletakkan Islam sebagai agama negeri.

Semua Undang-Undang Tubuh Negeri termasuk Sarawak meletakkan sultan atau Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

Isu salah faham terhadap agama Islam dan perundangan syariah perlu diuruskan sebaik mungkin agar tidak menjejaskan hubungan dua hala Malaysia dengan negara lain khususnya negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Pendekatan untuk menyertai konvensyen antarabangsa membawa risiko terhadap kedaulatan agama Islam dan Raja-Raja Melayu. Oleh itu suatu formula hendaklah diambil bagi menyampaikan pendirian Malaysia dengan lebih efektif, berhikmah dan berilmu.

BENIH ANAK WATAN

Oleh yang demikian amatlah penting misi luar Malaysia ditanggung oleh mereka yang dilatih dalam isu ini bagi memberi kefahaman jelas tentang Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga perlu berupaya memberikan pemahaman tuntas kepada negara luar tentang sesuatu tindakan yang diambil oleh negara.

Menyertai konvensyen antarabangsa adalah seperti menyemai benih luar di tanah watan. Tidak semua nilai dari luar negara atau norma antarabangsa itu sesuai dan diterima masyarakat setempat.

Oleh itu, dalam mendambakan kebebasan perjuangan juga perlu mempertahankan kebebasan rakyat jelata yang mahu terus kekal dengan norma lazim yang menjadi pegangan zaman berzaman.

Di samping itu, melihat kepada ekonomi Malaysia yang tidak secemerlang dasawarsa sebelum ini, misi menjadikan ekonomi Malaysia mampan berdaya saing dan dimanfaatkan oleh rakyat hendaklah digalas bersama dengan mempromosikan negara secara lebih agresif.

Kebahagiaan rakyat banyak bergantung kepada ekonomi negara. Persaingan luar negara sangatlah sengit. Eropah dan AS tidak boleh lagi diharapkan dapat membantu negara.

Oleh itu negara mungkin perlu beralih kepada benua Afrika untuk meningkatkan perdagangan yang kini mula dipelopori oleh China. Malah Singapura juga telah mengatasi Malaysia dalam perdagangan dua hala dengan negara Afrika.

PERKUKUH OIC

Memperkukuhkan Organisation of Islamic Countries (OIC) perlu menjadi wadah kepada kesatuan negara-negara Islam dan diberikan perhatian.

Ini kerana, OIC kini dilihat belum dapat melaksanakan fungsinya seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi negara Islam. Oleh itu OIC perlu distrukturkan semula agar menjadi badan yang perlu dicontohi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bermaruah dan lebih efisien.

Malaysia seharusnya menjadi model kepada negara Islam lain dalam menyelesaikan pertikaian sesama Muslim dan melibatkan bukan Muslim. Oleh itu, satu badan yang dinamakan sebagai penyelesaian pertikaian dalam kalangan negara Islam hendaklah ditubuhkan dan menjadi mekanisme untuk menyelesaikan segala masalah serta pertikaian antara negara Islam.

Islam mempunyai kaedah penyelesaian pertikaiannya tersendiri, oleh itu bukanlah masalah besar bagi negara-negara Islam menyelesaikan pertikaian mereka melalui kaedah digariskan dalam agama. Ini adalah disebabkan Islam menjadi faktor bersepadu (common factor) kepada semua negara Islam.

Di samping itu, merapatkan hubungan Malaysia dengan negara-negara ASEAN, kuasa besar seperti China, Turkey dan Jepun. Jalinan perdagangan perlu lebih dimantapkan antara ASEAN dan juga beberapa kuasa besar seperti dinyatakan.

Sektor pertanian perlu dimajukan dengan mempelajari teknik-teknik pertanian dari Belanda yang merupakan pengeluar sumber pertanian utama dunia.

Hal ini bukan hanya terbeban kepada sektor pertanian sahaja, tetapi dalam mempromosi dasar luar negara perlu dititikberatkan.

Walaupun Belanda merupakan negara kecil, tetapi eksport makanannya antara terbesar dunia. Pertanian yang dimaksudkan di sini bukanlah Bertani secara tradisi tetapi berkonsep moden dan maju serta menghasilkan pulangan besar kepada petani juga negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini