KUALA LUMPUR 16 April – Persatuan Kanu Malaysia (Masca) merancang membida hak penganjuran Kejohanan Kanu Polo Asia pada tahun depan dengan Kuching, Sarawak bakal menjadi lokasi pertandingan.
Perkara tersebut didedahkan oleh Presiden Masca, Datuk Seri Megat D’ Shariman Zaharudin selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Konfederasi Kanu Asia (ACC) di sini, hari ini.
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan Kanu Polo Asia ialah pada 2017 di Johor.
Kata Megat D’ Shariman, pemilihan Kuching sebagai lokasi penganjuran adalah kerana mempunyai kemudahan yang baik bagi sukan kanu polo.
“Kejohanan peringkat Asia ini adalah salah satu usaha kami untuk menyemarakkan sukan kanu di negara ini malah saya percaya pihak ACC juga akan memberikan sokongan kepada kami.
“Seandainya pihak ACC memberikan peluang kepada kami untuk menganjurkan kejohanan peringkat Asia ini maka saya yakin ia akan memberi manfaat yang bagus untuk pendedahan kepada atlet kita,” kata Megat D’ Shariman.
Sementara itu, Presiden ACC, Shoken Narita berkata, pihaknya menyambut baik hasrat Masca untuk menganjurkan Kejohanan Kanu Polo Asia pada tahun depan namun perlu mendapat sokongan ahli yang lain.
“Kami akan bermesyuarat pada hujung tahun ini di Pattaya, Thailand dan ketika itu kita lihat sokongan yang akan diberikan oleh ahli ACC yang lain.
“Bagi saya sukan kanu di Malaysia bergerak dengan baik dan mempunyai kemudahan yang bagus malah saya berharap ada kejohanan besar dapat dianjurkan di negara ini,” kata Shoken Narita. – UTUSAN ONLINE











