Masalah brek lori kren punca kemalangan 10 kenderaan - Utusan Malaysia

Masalah brek lori kren punca kemalangan 10 kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 April- Kemalangan melibatkan 10 kenderaan di Jalan Rawang ke Kuala Garing dekat sini pagi tadi berpunca daripada sebuah lori kren yang dipercayai mengalami masalah brek.

Akibat kemalangan itu, seorang pemandu dan kelindan lori tiga tan cedera manakala pemandu kenderaan lain terselamat.

Dalam kejadian pukul 9.45 pagi itu, pemandu lori kren yang datang dari arah pekan Rawang dikatakan mengalami masalah semasa membrek ketika menuruni kawasan berbukit di laluan terbabit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemandu lori kren jenis Kato berkenaan cuba mengelak daripada merempuh kenderaan di hadapannya dengan mengambil laluan di antara lorong kiri dan kanan namun melanggar sisi sebuah kenderaan Nissan Almera sebelum merempuh sisi tiga lagi kenderaan yang berada di laluan sama iaitu masing-masing sebuah Perodua Myvi, Nissan Grand Livina dan lori tiga tan jenis Nissan.

Keadaan itu menyebabkan lori tiga tan terbabit termasuk ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah lori pasir yang datang dari arah Country Homes.

Dalam pada itu, lori kren jenis Kato terbabit terus melanggar sisi empat lagi kenderaan lain iaitu sebuah Nissan Sentra, Honda Jazz, Mercedes dan Honda Insight sebelum terhenti di bahu jalan sebelah kiri laluan terbabit.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, ketika kejadian, laluan di lokasi kejadian agak sibuk dengan kenderaan dan trafik bergerak perlahan.

“Pemeriksaan mendapati pemandu lori kren berusia 61 tahun itu tidak cedera dan ujian saringan air kencing akan dilakukan terhadapnya.

“Siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini