KUALA LUMPUR 17 April – Buat kali ketiga sejak 2015, Malaysia ‘dijodohkan’ kembali dengan Timor Leste dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023 yang dijadualkan secara timbal balik pada 6 dan 11 Jun ini.
Undian di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Bukit Jalil hari ini seperti mengulangi pertembungan mereka dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2018-Piala Asia 2019 dan play-off ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019.
Harimau Malaya diberikan kemenangan percuma agregat 6-0 selepas kedua-dua keputusan awal timbal balik 3-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru pada play-off 2 dan 6 Jun 2016 dibatalkan AFC kerana penggunaan pemain naturalisasi Timor Leste yang tidak sah.
Dalam aksi Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2018-Piala Asia 2019, skuad negara diikat Timor Leste 1-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 11 Jun 2015 namun menundukkan lawan 1-0 di Stadium Perbandaran Dili tanggal 13 Oktober 2015.
Undian hari ini turut meletakkan Harimau Malaya sebagai tuan rumah perlawanan pertama, malah mungkin perlawanan kedua berdasarkan kesukaran Timor Leste memiliki kemudahan laman yang menepati piawaian antarabangsa.
Dalam saingan Kumpulan B Piala AFF, 17 November lalu, Timor Leste terpaksa menggunakan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sebagai gelanggang tuan rumahnya ketika dikalahkan Filipina 3-2.
Alasan kemudahan itu juga memaksa kedua-dua perlawanan timbal balik play-off tiga tahun lalu itu dilangsungkan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Hanya pemenang perlawanan pusingan pertama ini akan mara ke pusingan kedua bersama 34 negara di ranking lebih atas Asia yang berformat liga berkumpulan timbal balik, dengan setiap satu lima pasukan.
“Kami kena buat persiapan terbaik, kelayakan ini cukup penting dan saya sentasa positif tentang undian ini dan berharap pasukan dapat capai keputusan terbaik.
“Timor Leste dalam Piala AFF lalu telah mempamerkan aksi serangan yang berbahaya. Mungkin lawan ada seorang dua pemain naturalisasi sebagai pembakar semangat mereka,” kata ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe.
Para pemain tegasnya, turut wajar memfokuskan kelayakan ini sambil melupakan seketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam minggu perlawanan tersebut memandangkan bola sepak sentiasa menjadi sukan tumpuan negara.
“Lawan yang lebih rendah rankingnya pasti mahu tentang kita habis-habisan sebab mereka macam tidak rugi apa-apa. Jadi kami kena fokus dan jangan terlalu yakin sehingga boleh dikejutkan lawan. Kalau menyesal selepas itu nanti sudah terlambat,” kata Cheng Hoe.- UTUSAN ONLINE
Keputusan undian pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023
(*Bagi negara ranking ke-35 hingga 46 Asia)
Mongolia lwn Brunei
Macau lwn Sri Lanka
Laos lwn Bangladesh
MALAYSIA lwn Timor Leste
Kemboja lwn Pakistan
Bhutan lwn Guam











