KUALA LUMPUR 15 April – Malaysia Airlines memenangi emas bagi kategori Prestasi Terbaik Kempen dan gangsa bagi Penggunaan Data Terbaik pada majlis anugerah Persatuan Digital Malaysia (MDA) d-Awards 2019 untuk kempennya yang bertajuk ‘Malaysia Airlines Global Grand Travel Deals made better with MAGIc’.
Ketua Pegawai Perolehan Malaysia Airlines, Ignatius Ong berkata, penyertaan Malaysia Airlines pada anugerah berkenaan adalah bagi memacu jualannya yang dijangka menurun selepas pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) pada Mac 2018.
Menyedari ini kemungkinan tersebut, Ong berkata kempen itu dimulakan untuk memacu jualan dengan menggunakan data sedia ada dan prestasi pasaran.
“Kami bersama-sama agensi media m/SIX melaksanakan kempen tersebut yang menyaksikan kenaikan jualan yang luar biasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
d-Awards 2019 merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh MDA untuk mengenalpasti dan mengiktiraf bakat dan jenama yang menggunakan inovasi digital dalam merekabentuk dan melaksanakan kempen pemasaran yang tidak dapat dilupakan bagi orang ramai.
Malaysia Airlines baru-baru ini juga dinamakan sebagai Syarikat Penerbangan Terbaik di Anugerah Asia oleh Persatuan Penulis Perjalanan Kawasan Pasifik Antarabangsa (PATWA) berikutan kecemerlangannya dalam mempromosikan pelancongan. -UTUSAN ONLINE











