KUALA LUMPUR 25 April – Leong Hup International Bhd. menyasarkan untuk meraih dana berjumlah RM275 juta menerusi pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO).
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Francis Lau berkata, sebanyak 75.5 peratus daripadanya akan diperuntukkan bagi pengembangan modal untuk menyokong pertumbuhan operasi kumpulan di Malaysia, Vietnam dan Filipina.
Katanya, kira-kira 12 peratus daripada hasil dana kasar akan dimanfaatkan bagi modal kerja dan bakinya untuk belanja penyenaraian.
“Kami akan terus memberi tumpuan kepada melaksanakan strategi pembangunan perniagaan kami untuk memastikan kesinambungan perniagaan dan pertumbuhan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran prospektus di sini hari ini.
IPO Leong Hup International membabitkan 937.5 juta saham biasa terdiri daripada tawaran jualan sebanyak 687.5 juta saham LHI sedia ada dan terbitan umum sebanyak 250 juta saham Leong Hup International baharu.
Harga terbitan adalah RM1.10 bagi setiap saham IPO.
Leong Hup International berjaya menarik minat dalam kalangan 10 pelabur terkemuka bagi IPO yang ditawarkan.
Antaranya termasuk AIA Bhd., Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Maybank Asset Management Sdn. Bhd., RHB Asset Management Sdn. Bhd. dan Hong Leong Capital Bhd.











