KUALA LUMPUR 29 April – Selepas gagal meraih kemenangan dalam dua perlawanan terakhir Liga Super, Kedah bertandang ke Stadium Shah Alam esok ibarat harimau luka yang dahagakan kejayaan.
Skuad Lang Merah berdepan PKNS FC dalam suku akhir pertama Piala FA dengan misi membawa pulang bekalan selesa sebelum menerima kunjungan lawan dalam aksi timbal balik di Alor Setar pada 10 Mei.
Biarpun sedar cabaran yang bakal menanti tidak mudah, apatah lagi beberapa pemain seperti Anmar Al Mubaraki, Zaquan Adha Abdul Radzak dan Shahrul Azwari Ibrahim berdepan isu kecergasan, namun anak-anak buah Aidil Sharin Sahak tetap turun bersama keyakinan tinggi.
Bagi tonggak pertahanan dari Singapura, Shakir Hamzah, Piala FA adalah pentas terbaik buat Lang Merah melakukan kebangkitan selepas mengharungi dua aksi terakhir yang mengecewakan.
“Saingan Liga Super dan Piala FA sama sekali berbeza.
“Piala FA adalah perlawanan kalah mati, jadi kami kena memanfaatkan setiap peluang dengan sebaiknya dan perlu membawa pulang bekalan.
“Selepas menjalani penggantungan kad kuning satu perlawanan, saya berazam mahu meneruskan usaha dalam saingan Piala FA untuk melakar kemenangan.” kata Shakir yang tidak beraksi dalam perlawanan terakhir menentang Selangor.
Kedah kalah 0-1 kepada Melaka United dalam aksi Liga Super pada 21 April lalu, sebelum diikat 1-1 oleh Selangor dalam perlawanan di tempat sendiri, Jumaat lepas.
PKNS yang dibenam 3-1 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan liga 20 April lalu telah menunjukkan kebangkita dengan menumpaskan Kuala Lumpur 3-2, Sabtu lalu. – UTUSAN ONLINE











