Lam Thye dianugerahkan pingat kebesaran tertinggi JBPM - Utusan Malaysia

Lam Thye dianugerahkan pingat kebesaran tertinggi JBPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 3 April- Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye hari ini menerima pingat kebesaran tertinggi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) atas sumbangan beliau terhadap aspek keselamatan dan kebajikan warga JBPM.

Jabatan itu dalam kenyataannya berkata, Lam Thye menerima Pingat Ketua Pengarah (PKP) tersebut daripada Ketua Pengarah JBPM, Datuk Muhammad Hamdan Wahid dalam majlis istiadat penganugerahan pingat kebesaran JBPM di ibu pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Menurut JBPM, Lam Thye, 73, terpilih menerima pingat kebesaran tersebut kerana sumbangan beliau kepada JBPM dan juga masyarakat atas kapasitinya sebagai pengerusi NIOSH, ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) dan Pengerusi Yayasan Eco World.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Antara perkara yang dibangkitkan oleh Lam Thye adalah keperluan menaikkan gaji anggota JBPM kerana tugas mereka kini dilihat semakin mencabar dan sama penting seperti anggota keselamatan lain,” kata JBPM dalam satu kenyatannya di sini hari ini.

Sementara itu, Lam Thye dalam kenyataan sama berharap lebih banyak peruntukkan disediakan kerajaan untuk pembelian jentera dan peralatan yang canggih manakala peralatan perlindungan diri (PPE) terkini perlu dibekalkan untuk kegunaan anggota JBPM.

Lam Thye berkata, di dalam MKAA, beliau turut membangkitkan keperluan untuk meningkatkan kemahiran anggota JBPM untuk menangani kes lemas serta mengelak daripada menjadi mangsa.

Dalam perkembangan lain, Lam Thye berkata, Yayasan Eco World juga telah memberi sumbangan kepada keluarga Muhammad Adib Mohd. Kassim yang terbunuh dalam kekacauan di sebuah kuil baru-baru ini serta keluarga enam anggota JBPM yang mati lemas ketika operasi menyelamat di sebuah lombong Oktober lepas. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini