LALUAN berbukit khususnya di peringkat pertama dari Iskandar Puteri hingga ke Batu Pahat merupakan antara cabaran yang perlu ditempuh 115 pelumba Tour de Iskandar Johor (TdIJ) 2019 yang bermula hari ini hingga 19 April.
Pengerusi TdIJ, Jaafar Hashim berkata, peringkat pertama daripada keseluruhan tiga peringkat yang melibatkan jarak 403 kilometer (km) menjadi cabaran disebabkan laluan terbabit melibatkan kawasan berbukit seperti Bukit Banang dekat Batu Pahat.
“Secara keseluruhan, laluan sepanjang tiga peringkat tidaklah begitu mencabar, namun masih terdapat laluan yang boleh menyukarkan pelumba khususnya di kawasan Batu Pahat dan Simpang Renggam,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Johor Bharu semalam.
Beliau menambah, tiga peringkat yang telah ditetapkan termasuklah di peringkat pertama dari Iskandar Puteri ke Batu Pahat dengan jarak 122.9km
“Bagi peringkat kedua dari Muar Ke Yong Peng melibatkan jarak 172.4km manakala peringkat ketiga dari Kluang ke Johor Bahru dengan jarak 107.7km hanya sedikit melalui kawasan berbukit,” katanya.
Beliau berkata, TdIJ yang julung kali diadakan menyaksikan penglibatan dari 23 pasukan antaranya 15 pasukan benua, satu pasukan kebangsaan, dua pasukan negeri dan lima kelab terkemuka Asia.
“Pasukan yang menyertai TdIJ terdiri daripada pasukan profesional yang terlibat dalam pelbagai perlumbaan peringkat antarabangsa termasuk kejohanan Le Tour de Langkawi.
“Kebanyakan pelumba merupakan dari pasukan yang terkemuka seperti pasukan dari Team Sapura Cycling, Brunei Continental dan Terengganu Inc. TSG Cycling Team.
“Turut memberi saingan ialah pasukan tempatan seperti pasukan kebangsaan Malaysia dan tuan rumah itu sendiri iaitu pasukan JDT Cycling Team,” katanya.











