LONDON – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp kekal tenang meskipun Mohamed Salah masih ketandusan gol malah mengakui penyerang skuad kebangsaan Mesir itu masih sandaran utama The Reds untuk memburu kejuaraan Liga Perdana England (EPL) musim ini.
Salah menjaringkan 44 gol pada musim lalu bersama Liverpool, namun dia dilihat berdepan kemarau jaringan apabila tidak meledak sebarang gol dalam lapan perlawanan terakhir meskipun sudah mengumpul 22 gol musim ini.
“Apabila semua menuding kepada Salah yang gagal menjaringkan gol, namun saya dan dia tidak pedulikan segala kritikan tersebut.
“Pastinya kami tidak akan menjadikan perkara tersebut sebagai isu utama.
“Karier Salah belum berakhir di Anfield kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku pada penghujung musim ini,” kata Klopp.
Kejayaan Salah pada musim lalu menjadikan dia menjadi tumpuan utama pasukan lawan apabila beraksi di atas padang.
“Kadangkala pemain perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan situasi baharu tetapi saya merasakan Salah tidak memerlukan perkara seumpama itu.
“Salah sentiasa membantu pasukan dan saya yakin dia mampu menyesuaikan diri dengan segala situasi yang dihadapinya,” kata Klopp.
The Reds bakal bertandang ke Stadium St. Mary untuk menentang Southampton awal pagi esok.
Sementara itu, pemain pertahanan termahal dunia, Virgil van Dijk dilihat ada harapan untuk kembali beraksi bersama The Reds selepas berdepan kecederaan ringan ketika perlawanan menentang Tottenham Hotspur minggu lalu. – Agensi











