LONDON 1 April – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp bangga dengan sokongan diberikan oleh ‘pemain ke-12’ pasukan itu yang menjadi inspirasi kepada kemenangan 2-1 ke atas Tottenham sekali gus melonjakkan semula kedudukan mereka ke puncak Liga Perdana Inggeris.
Dalam perlawanan tersebut Klopp kagum dengan semangat dipamerkan oleh penyokong di Anfield selepas mereka dikecewakan oleh gol Lucas Moura yang menafikan jaringan pembukaan Roberto Firmino.
Reds mengesahkan kemenangan selepas jaringan sendiri Toby Alderweireld pada minit ke-90 ketika cuba mengeluarkan bola tandukan Mohamed Salah.
“Ketika perlawanan terikat 1-1, penonton telah memberikan segala-galanya untuk pasukan ini, malah, ketika kami dibolosi, mereka terus memberikan sokongan dan yakin dengan kebolehan pasukan untuk mencari gol kemenangan.
“Kita semua adalah manusia dan kami memulakan misi ini sembilan bulan yang lalu bagi mengejar dua kejohanan utama. Kami melakukannya dengan cara kami, malah, pemain-pemain telah mempamerkan peningkatan.
“Sebelum ini, kami perlu mencari jalan untuk memenangi perlawanan, bukan itu sahaja pemain-pemain juga bekerja keras untuk memastikan kami berada di puncak selepas berakhir saingan liga musim ini,” kata Klopp.
Dalam pada itu, Klopp mahu semua pemain mengekalkan prestasi semasa mereka menjelang aksi akan datang.
“Kami akan bertemu Southampton, mereka berada dalam prestasi yang baik. Sudah tentu kami akan cuba mencari kemenangan dalam perlawanan tersebut,” kata Klopp. – AGENSI











