Kilang jeruk rugi RM100,000 dipecah masuk penyamun - Utusan Malaysia

Kilang jeruk rugi RM100,000 dipecah masuk penyamun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL 1 April – Sebuah kilang jeruk terkemuka yang beroperasi di Simpang Ampat di sini kerugian sebanyak RM100,000 setelah premis itu dipecah masuk dua penyamun bertopeng semalam.

Kejadian itu disedari pekerja di kilang berkenaan kira-kira pukul 9 pagi setelah mendapati siling di dalam kilang tersebut jatuh dan barangan di ruang pejabat berselerak.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Suprintendan Shafee Abd. Samad berkata, pekerja kilang berkenaan terus membuat pemeriksaan lanjut dan mengesyaki kilang tersebut telah dipecah masuk.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pekerja tersebut mendapati peti besi yang berada di dalam pejabat telah dipecahkan dan wang tunai kira-kira RM100,000 turut hilang.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua lelaki bertopeng, berbaju lengan panjang serta bersarung tangan dilihat berada di tempat kejadian kira-kira pukul 12.17 tengah malam semalam,” katanya di sini hari ini.

Menurut Shafee, siasatan lanjut mendapati suspek memecah masuk kilang berkenaan dengan mengumpil atap genting menggunakan kuku kambing sebelum memecah siling untuk masuk ke dalam kilang.

“Mereka kemudian memecahkan peti besi dengan menggunakan mesin penebuk dinding dan turut menggeledah pejabat kilang berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Shafee berkata, tiada pekerja yang bertugas semasa kejadian dan kilang itu ditutup dari pukul 5 petang hingga 9 pagi setiap hari.

“Terdapat seorang pengawal keselamatan ditugaskan di tempat kejadian.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan suspek sedang diburu polis,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini