Kerajaan setuju lanjut tempoh penguatkuasaan Skim Kawalan Harga - Utusan Malaysia

Kerajaan setuju lanjut tempoh penguatkuasaan Skim Kawalan Harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM – Kerajaan secara prinsip bersetuju melanjutkan tempoh penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) sempena Hari Raya Aidilfitri pada Jun depan, berbanding antara 14 dan 15 hari sebelum ini dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan lanjutan tempoh itu akan diputuskan selepas mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan.

“Kita setuju bermula Hari Raya ini, bilangan hari ditambah dari 15 hari menjadi beberapa hari lagi. Perkara tersebut akan diputuskan kerana penetapan itu akan turut membabitkan penglibatan kami dengan pihak peniaga, agensi kawal selia lain seperti Jabatan Pertanian dan sebagainya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia penting bagi memastikan jaminan bekalan mencukupi sebelum kita menguatkuasakannya kerana ia tertakluk kepada Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gerakan Kepenggunaan Masjid (GEMA) peringkat kebangsaan di Bandar Baharu dekat sini hari ini.

Saifuddin berkata, di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, kementeriannya diberikan kuasa untuk menyenaraikan barangan kawalan dan juga menetapkan tempoh hari penguatkuasaan.

“Tujuannya supaya pengguna rasa lebih selesa, terjaga dan terjamin bahawa barangan utama yang selalu mereka beli dapat diperoleh pada harga murah dan munasabah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut bercadang memperluaskan bilangan barang yang dikawal ke dalam senarai skim berkenaan agar dapat memberi banyak pilihan kepada pengguna membeli pada harga lebih murah.

“Kerajaan mendukung usaha peniaga menawarkan barangan mereka, namun di sebalik mengambil keuntungan, kita juga ada tanggungjawab untuk ikut serta membantu masyarakat melalui cara tersebut,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini