KUALA TERENGGANU 3 April – Kerajaan negeri memutuskan untuk mengkaji semula dasar
perumahan swasta di Terengganu termasuk projek Rumah Mampu Milik (RMM) bagi membantu
pihak pemaju yang mengadu mengalami kerugian ekoran syarat ketat yang ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr.
Alias Razak berkata, proses mewujudkan dasar baharu itu dijangka dikeluarkan dalam masa
terdekat ini.
Beliau seterusnya berharap supaya dasar baharu yang bakal dilaksanakan itu akan memberi
perkhidmatan lebih `mesra’ kepada golongan pemaju tanpa mengabaikan tanggungjawab mereka
melaksanakan projek perumahan RMM di Terengganu.
“Saya ambil keputusan untuk kaji semula dasar ini dan kita telah adakan bengkel, dalam masa
terdekat ini kita akan keluarkan dasar baharu yang kita harap akan beri lebih kemesraan kepada
pemaju,” katanya.
Alias menyatakan perkara itu ketika menjawab soalan Ab. Razak Ibrahim (Pas-Air Putih) pada hari
ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari
ini.
Beliau berkata, pada masa ini, kerajaan masih mengguna pakai dasar perumahan untuk projek
pembinaan rumah swasta di negeri ini sejak tahun 2017.
Menurut beliau, pihaknya mengakui sejak mengambil alih pemerintahan kerajaan Terengganu
pada Mei tahun lalu telah menerima aduan daripada pihak pemaju bahawa dasar perumahan
sedia ada tidak memberi keuntungan kepada mereka.
“Yang jadi isu adalah harga rumah mampu milik yang terpkasa mereka tanggung adalah berbeza
nilai sebenar dengan yang mereka bina dengan harga ditetapkan kerajaan,” ujarnya. – UTUSAN
ONLINE











