Kementerian sasar tambah dua laluan bas GoKL tahun ini - Utusan Malaysia

Kementerian sasar tambah dua laluan bas GoKL tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 April – Kementerian Wilayah Persekutuan menyasarkan untuk menambah sekurang-kurangnya dua laluan bas GoKL ke kawasan berkepadatan tinggi di sekitar ibu kota pada tahun ini.

Menterinya Khalid Abdul Samad berkata setakat ini, bas GoKL yang beroperasi secara percuma di enam laluan dengan kod RM3 juta diperuntukkan setiap tahun bagi satu laluan.

“Kami perlu membuat kajian dahulu dari segi keperluan, kepadatan penduduk dan sambutannya terhadap kelima-lima laluan bas sedia ada sebelum bercadang memperluaskannya ke kawasan lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun, kami menyasarkan sekurang-kurangnya dua dan maksimum empat laluan bas ditambah dengan keutamaan kepada kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR), kompleks kerajaan, institusi pengajian tinggi serta kawasan yang didiami golongan B40,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan bas GoKL laluan keenam Stesen LRT Universiti-PPR Seri Pantai di sini, hari ini.

Yang turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

Laluan perkhidmatan Bas GoKL sedia ada merangkumi Laluan Hijau (KLCC-Bukit Bintang), Laluan Ungu (Pasar Seni-Bukit Bintang), Laluan Merah (Hab Titiwangsa-KL Sentral) Laluan Biru (Hab Titiwangsa-Bukit Bintang) dan Laluan Jingga (Hab Titiwangsa-Mindef).

Laluan Stesen LRT Universiti-PPR Seri Pantai itu dinamakan Laluan Merah Jambu.

Khalid dalam ucapannya berkata laluan tambahan sepanjang 7.3 kilometer itu bermula dari Hab LRT Universiti melalui Jalan Pantai Baru, Jalan Pantai Dalam, Jalan Kampung Pasir dan Jalan Kerinchi.

“Sebanyak empat bas akan beroperasi sepanjang laluan ini dengan kekerapan 15 minit bagi setiap perjalanan dari 6 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini