Kelab Sahabat N32 anjur program bicara pasca PRU-14 - Utusan Malaysia

Kelab Sahabat N32 anjur program bicara pasca PRU-14

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 30 April – Buat julung kali Kelab Sahabat N32 Kemaman (Kelab Sahabat N32) menganjurkan forum Kemaman Berbicara Pasca PRU-14 : Malaysia Baharu, Prestasi dan Hala Tuju bagi mendengar pandangan anak muda mengenai masa depan mereka.

Pengerusi penaja Kelab Sahabat N32, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, program santai bersama anak muda seumpama itu membolehkan golongan itu mengemukakan pandangan mereka mengenai hala tuju serta masa depan negara.

Katanya, ramai golongan muda melahirkan rasa kecewa dan tertipu dengan janji manis Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) terutama penurunan harga minyak kepada RM1.50 seliter dan menangguhkan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada semua peminjam bergaji kurang dari RM4,000 sebulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lagi 10 hari genaplah setahun pemerintahan kerajaan PH. Segala janji-janji 100 hari sebelum pilihan raya masih tiada satu pun yang berjaya dilaksanakan kecuali memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) enam peratus dengan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) 10 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas majlis forum Kemaman Berbicara Pasca PRU-14 di kediaman bekas ketua UMNO Cawangan Seri Permai, Mak Chili di sini malam semalam.

Wan Abdul Hakim berkata, Kelab Sahabat N32 merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada 12 Mac lalu.

“Matlamat penubuhan Kelab Sahabat N32 ini bertujuan membantu mengetengahkan isu-isu rakyat dan memberi peluang kepada anak muda dan golongan professional bersuara,” katanya.

Beliau yang juga bekas Adun Air Putih berkata, setakat ini Kelab Sahabat N32 telah mengadakan tujuh program bersama masyarakat dan rata-rata sambutan yang diterima amat menggalakan.

“Kelab Sahabat N32 akan mengadakan mesyuarat agung pertama pada pertengahan bulan Ramadan ini bagi memilih jawatankuasa baharu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini