KEMENANGAN besar Datuk Seri Mohamad Hasan dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sememangnya sudah dijangka berikutan keangkuhan Pakatan Harapan (PH) yang turun ke gelanggang dengan misi ‘kebumikan Tok Mat di Rantau’.
PH yang menganggap ia sebagai `ibu segala PRK’ melakukan serangan bertubi-tubi ke atas peribadi bekas Menteri Besar tersebut. Tiada agenda besar dibentangkan untuk pengundi Rantau selain kononnya akan menikmati limpahan pembangunan yang berlaku di Parlimen Port Dickson.
Sejak kempen bermula pada 13 April lalu, PH yang kini menjadi kerajaan masih belum mampu mengubah perangai sebagai pembangkang. Mereka membangkitkan isu yang tiada kaitan dengan kawasan Rantau sebaliknya menyerang Mohamad, BN dan Pas.
Mereka menjadikan Rantau sebagai medan untuk ‘mengebumikan’ Mohamad yang cukup cemerlang memimpin BN mencapai kemenangan dalam dua PRK sebelum ini iaitu di Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih. Justeru mereka berusaha memastikan kemaraan BN melalui Mohamad disekat.
Bagaimanapun sejak awal lagi impian PH itu yang menyandarkan harapan kepada calon daripada PKR, Dr. S. Streram untuk melaksanakan misi tersebut telah menimbulkan perasaan muak dalam kalangan penduduk Rantau yang sememangnya amat mengenali Mohamad. Oleh itu mereka menterjemahkan perasaan itu melalui peti undi dengan memastikan Mohamad mendapat 10,397 undi dan kekal sebagai ADUN Rantau dengan majoriti 4,510 undi.
Mereka memahami sebagai anak jati Rantau, biarpun kini menjadi pembangkang, Mohamad turun ke gelanggang dengan perasaan yang benar-benar ikhlas untuk membela nasib penduduk di kawasan kelahirannya. Mohamad sudah sebati dengan DUN Rantau. Di situlah beliau dilahirkan dan dibesarkan serta diberi peluang menabur bakti apabila menjadi ADUN sejak 2004, bukannya baru tiga tahun muncul di Rantau untuk bertanding dalam pilihan raya seperti mana Streram.
Selain memahami kemenangan penting bagi membolehkan beliau terus mengekalkan momentum UMNO dan BN untuk bangkit semula dalam PRU-15, Mohamad turut memikirkan kesejahteraan penduduk Rantau dan rakyat Negeri Sembilan.
Sebagai ketua pembangkang di DUN negeri itu, Mohamad sudah pasti akan melaksanakan tugasnya menuntut satu demi satu janji yang dibuat oleh PH dalam PRU-14.
Keikhlasan Mohamad itu berbeza dengan PH yang bertanding semata-mata kerana kuasa politik. PH tidak mahu Mohamad menang bukan kerana mahu membela nasib penduduk Rantau tetapi bagi mengelakkan ia menjadi satu lagi referendum rakyat menolak kerajaan PH.
Oleh itu dalam kempen mereka, kredibiliti dan integriti Mohamad cuba dirosakkan habis-habisan. Pelbagai isu mereka bangkitkan untuk menimbulkan keraguan pengundi ke atas Mohamad. Isu lama ditimbulkan semula. Tetapi mereka sekali lagi lupa, orang Rantau tahu siapa Mohamad, bak kata seorang kawan secara berseloroh, ‘ikan semilang Rantaupun kenal Tok Mat’.
Justeru Mohamad tidak pernah terganggu dengan keangkuhan pemimpin-pemimpin PH termasuklah Streram dalam melancarkan serangan peribadi terhadap beliau. Pada satu tahap apabila Streram membangkitkan persoalan apakah sebuah rumah berbentuk Minangkabau milik Mohamad, bekas Menteri Besar itu menyifatkan tidak perlu layan soalan budak bodoh.
Mohamad memberi jawapan itu bukannya disebabkan beliau angkuh tetapi tidak mahu membuang masa melayan taktik kotor pemimpin-pemimpin PH yang mahu mengalih tumpuan beliau berkempen mendekati rakyat.
Apabila mereka melihat serangan peribadi gagal, sasaran kempen PH ialah menyerang kerjasama UMNO-Pas yang penulis anggap satu strategi yang menghakis harapan pakatan itu meraih sokongan orang Melayu. Dengan keyakinan pengundi bukan Melayu khususnya India menyebelahi mereka, kerjasama dua parti utama orang Melayu itu cuba digambarkan akan memberi ancaman kepada penduduk bukan Melayu.
Dua tiga hari sebelum pengundian, seorang pemimpin DAP dengan angkuh di hadapan pengundi-pengundi bukan Melayu meminta mereka tidak menyokong kerjasama tersebut kerana hujah dangkal beliau:“Pas orang jahat bekerja dengan orang jahat UMNO, lagi jadi jahat.’’
Kenyataan itu dilihat menimbulkan kemarahan dalam kalangan pengundi Rantau khususnya orang Melayu yang pastinya tidak faham kenapakah PH yang kini sudah menjadi kerajaan terlalu takut dengan kerjasama UMNO-Pas yang berteraskan kepada penyatuan ummah.
Ketika pemimpin-pemimpin MCA, MIC dan Makkal Sakti bersedia berada satu pentas dan amat memahami kerjasama itu tidak akan memudaratkan orang bukan Melayu, pemimpin-pemimpin PH bagaikan ‘kuntilanak tidak dapat jejak tanah’. Pentas kempen dihiasi dengan ucapan disifatkan sebagai berbaur perkauman seperti mana tularnya video ucapan Menteri Sumber Manusia, M.Kulasegaran daripada DAP.
Biarpun Kulasegaran menganggap ucapan itu disalah tafsirkan namun dalam laman-laman sosial masyarakat India sendiri mengecam beliau dan sekali gus memberi impak kepada sokongan pengundi Rantau terhadap PH.
Walaupun PH cuba melancarkan apa yang disifatkan sebagai ‘serangan fajar’ pada hari mengundi tetapi isu yang dibangkitkan tiada kaitan dengan Mohamad, sebaliknya ia hanya menampakkan PH terpaksa menekan ‘butang panik’ apabila menyedari mereka berada di ambang kekalahan.
Satu lagi faktor yang meranapkan PH di Rantau ialah kegigihan dan kesungguhan seluruh kepemimpinan BN dan Pas serta jentera kedua-dua parti. Tanpa mengenal penat dan lelah, pelbagai usaha dilakukan bagi meraih undi. Hasilnya, `Tok Mat monang bosar’.
Apapun kekalahan di PRK Rantau memberi peringatan kepada PH, janganlah terlalu angkuh bila berhadapan dengan rakyat dan jangan memungkiri janji. PRK Cameron Highlands, Semenyih dan terkini Rantau sekali lagi membuktikan kuasa rakyat – slogan yang selama ini cukup dibanggakan oleh pakatan itu selepas menang PRU-14. Tahniah Tok Mat! Tahniah BN! Terima kasih Pas!
Satu lagi faktor yang meranapkan PH di Rantau ialah kegigihan dan kesungguhan seluruh kepemimpinan BN dan Pas serta jentera kedua-dua parti. Tanpa mengenal penat dan lelah, pelbagai usaha dilakukan bagi meraih undi. Hasilnya ‘Tok Mat monang bosar’.
Apapun kekalahan di PRK Rantau member peringatan kepada PH, janganlah terlalu angkuh bila berhadapan dengan rakyat dan jangan memungkiri janji. PRK Cameron Highlands, Semenyih dan terkini Rantau sekali lagi membuktikan kuasa rakyat – slogan yang selama ini cukup dibanggakan oleh pakatan itu selepas menang PRU-14. Tahniah Tok Mat! Tahniah BN! Terima kasih Pas!











