Rawatan untuk pesakit kanser amat bergantung kepada jenis dan tahap kanser yang dihidapi. Selain rawatan kemoterapi, radioterapi dan pembedahan, beberapa jenis rawatan pemulihan turut dikenal pasti mampu membantu proses penyembuhan seseorang pesakit kanser.
Rawatan pemulihan yang dimaksudkan telah dipersetujui oleh pakar perubatan yang merawat seseorang pesakit asalkan tidak mengurangkan keberkesanan rawatan kanser.
Kelebihan rawatan pemulihan itu antaranya adalah bagi membantu mengurangkan kesan sampingan rawatan selain membantu meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental pesakit. Rawatan pemulihan yang disarankan selalunya melibatkan aktiviti fizikal, dan pergaulan dengan ahli masyarakat.
“Sokongan daripada komuniti termasuk kelestarian alam sekitar merupakan elemen penting dalam aspek rawatan pemulihan pesakit kanser. Atas dasar itulah Pusat Komuniti Kanser KeepAble Universiti Malaya (UM) ditubuhkan.
“Penubuhannya bertujuan membantu proses rawatan pesakit kanser dengan menyediakan kawasan persekitaran yang kondusif untuk mereka berinteraksi dengan masyarakat dan alam sekitar,” kata pensyarah di Jabatan Rawatan Pemulihan, Fakulti Perubatan UM yang juga pengasas Pusat Komuniti KeepAble, Prof. Madya Dr. Loh Siew Yim dalam satu kenyataan.
Beliau amat menghargai sokongan dan usaha yang ditunjukkan oleh mahasiswa UM untuk membantu menguruskan pusat komuniti tersebut. Secara tidak langsung katanya, mereka boleh menjadi suri teladan yang baik kepada ahli masyarakat yang lain untuk sentiasa ringan tulang dalam memberi manfaat kepada individu lain yang memerlukan.
Pusat Komuniti KeepAble terletak di Seksyen 16, Petaling Jaya dan diuruskan sepenuhnya oleh sukarelawan yang datang dari semasa ke semasa.
Sekretariat Sukarelawan UM (SEKRUM) menyusun jadual kehadiran ahli-ahlinyapada setiap hujung minggu dan mereka bertanggungjawab menguruskan kebersihan, penyenggaraan taman dan laluan pejalan kaki di persekitaran pusat komuniti tersebut.
Pelajar tahun dua Fakulti Kejuruteraan yang merupakan sukarelawan SEKRUM, Nur Syazwani Ezzaty Azman teruja kerana berpeluang melakukan sesuatu yang mudah tetapi mempunyai impak yang tinggi dalam kehidupan seseorang yang pernah dan sedang menjalani rawatan kanser.
“Saya yakin dengan usaha kolektif oleh setiap segmen masyarakat akan memberi kesan positif kepada mereka yang mengunjungi pusat komuniti ini,” katanya.
Selain bergotong-royong membersihkan kawasan persekitaran pusat komuniti tersebut, sukarelawan turut berpeluang berinteraksi dengan pengunjung yang merupakan pesakit kanser yang telah dan sedang menjalani rawatan.
“Banyak perkara yang saya pelajari daripada kisah hidup mereka yang dikongsi bersama kami. Paling menarik apabila kami sama-sama membantu mereka menanam pokok lidah buaya dan bunga Ruellia (Ruellia simplex) yang dikatakan mempunyai khasiat khusus dalam perubatan kanser,”tambahnya.











