LONDON 26 April – Mauricio Pochettino bersimpati dengan Harry Kane dan kecederaan yang menimpa pemain Tottenham yang lain tetapi memberi bayangan bahawa penyerang itu mungkin akan kembali beraksi musim ini.
Walaupun mereka hanya mampu mengharapkan kedudukan ketiga dalam saingan domestik, mereka berjaya menyingkirkan Manchester City untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara.
Minggu hadapan, Spurs akan beraksi di laman sendiri menetang Ajax yang berjaya menyingkirkan Real Madrid dan Juventus untuk ke separuh akhir Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun, beberapa pemain akan terlepas perlawanan itu akibat kecederaan termasuk Harry Winks, Erik Lamela, Serge Aurier, Moussa Sissoko dan Kane yang dikhabarkan akan terlepas baki musim ini akibat kecederaan buku lali.
“Mereka dalam keadaan baik. Kane dan Winks bersemangat untuk segera pulih.
“Dengan perlawanan ketika ini, kami berdepan kesukaran apabila ramai pemain cedera.
“Untuk Lamela, Serge Aurier, Harry Kane, Harry Winks dan Moussa, keadaan memang sukar kerana ketika ini adalah detik menyeronokkan buat pasukan dan mereka terpaksa menyaksikan perlawanan dari luar padang,” kata Pochettino.-AGENSI











