PASIR SALAK – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemui mati lemas selepas mandi di Sungai Perak berhampiran Kampung Pulau Tiga Kiri, Kampung Gajah di sini semalam.
Mangsa, Ahmad Salman Omar, ditemui terapung pada pukul 8 malam kira-kira 50 meter dari tebing sungai oleh penduduk kampung yang melakukan operasi mencarinya.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasata awal mendapati kanak-kanak itu bersama ibu dan seorang rakannya pergi ke sungai tersebut yang terletak berdekatan rumah mereka di Kampung Pulau Tiga Kiri.
“Selepas sejam berada di sungai itu, ibu mangsa pulang ke rumah pada pukul 7 malam manakala mangsa dan rakannya masih bermandi-manda di sungai.
“Ibu mangsa kemudian menyedari anaknya masih tidak pulang ke rumah sebelum bapa mangsa mencarinya di lokasi kejadian dan mendapati anaknya tiada di situ manakala rakannya telah pulang ke rumah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Mohamad Zainal, bapa mangsa hanya menjumpai kasut anaknya itu di atas tebing sungai sebelum dia meminta bantuan penduduk kampung bagi mencari mangsa.
“Usaha mencari mangsa berhasil selepas dia dijumpai terapung kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.
“Mangsa bagaimanapun telah meninggal dunia dan mayatnya dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk proses bedah siasat,” katanya.
Katanya, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas.
“Tiada unsur jenayah dikesan pada mayat kanak-kanak itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – K! ONLINE











