TURIN 14 April – Juventus berharap mereka dapat meraih 100 juta euro (RM466 juta) menerusi penjualan Paulo Dybala dalam usaha menyediakan dana untuk membeli penyerang sensasi Benfica, Joao Felix.
Felix, 19, dianggap pemain bola sepak paling berbakat yang dimiliki Portugal selepas Cristiano Ronaldo.
Khamis lalu, dia meledak hatrik ketika membantu Benfica menumpaskan Eintracht Frankfurt 4-2 dalam suku akhir pertama Liga Europa.
Gergasi bola sepak Itali itu sebelum ini bersetuju membayar gaji 400,000 pound (RM2.15 juta) seminggu kepada Aaron Ramsey untuk membawanya dari Arsenal.
Malah, mereka turut memberikan kontrak lumayan kepada Ronaldo ketika membelinya daripada Real Madrid, tahun lalu.
Menurut Tuttosport, Dybala, 25, bergelut untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama Juventus biarpun meledak 10 gol daripada 37 perlawanan musim ini.
Manchester United sebelum ini dikaitkan dengan penyerang Argentina itu, namun mereka juga kini mengintai peluang mendapatkan Felix bersama Manchester City, Bayern Munich, Real Madrid dan Barcelona. – AGENSI











