SAUDARA PENGARANG,
SETELAH 10 bulan Pakatan Harapan (PH) menduduki tampuk pemerintahan negara, kita dapat lihat dengan jelas bagaimana corak pemerintahan mereka
Sebagai contoh, cara kerajaan menyelesaikan sesuatu permasalahan adalah dengan mengambil jalan singkat tanpa mengambil kira impaknya pada kemudian hari.
Hari ke hari lihat sahaja satu persatu aset negara sudah mula digadaikan dan dijual untuk menyelesaikan hutang negara.
Yang hairannya, bukankah mereka ada melancarkan tabung yang kononnya bertujuan melangsaikan hutang-hutang negara? Mana perginya duit-duit itu semua?
Bayangkan jika cadangan penjualan aset sebegini diutarakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, saya yakin dan pasti PH akan menentang habis-habisan sekali gus membuat perhimpunan ‘gelombang kuning’ di jalanan.
Pemimpin-pemimpin BN yang telah mentadbir negara selama 60 tahun masih berfikiran waras dan belum terfikir untuk menjual aset negara. Berbeza dengan kerajaan PH yang baharu sahaja mentadbir negara, sudah berjinak-jinak menjual aset negara. Tidak ada cara lain lagikah yang terbaik untuk menyelesaikan hutang negara selain daripada menjual aset?
Malah dari hari ke hari juga, hutang negara semakin meningkat sehingga mencecah RM87.1 bilion daripada RM686 bilion pada akhir 2017 kepada RM773.1 bilion. Tidak perlu tunggu setahun, cukup 10 bulan sahaja kerajaan PH sudah berjaya menambah hutang negara sebanyak RM87.1 bilion.
Sekiranya langkah menjual aset ini diteruskan, apakah jaminan kerajaan untuk tidak menganggu aset-aset yang berkait rapat dengan orang Melayu dan Islam?
Jadi, kerajaan PH perlu memberikan jaminan dan meyakinkan orang Melayu dan Islam bahawa aset-aset yang melibatkan mereka sama sekali tidak akan digadaikan begitu sahaja.
DHIA HANI
Persatuan Pemikir Muda Johor











