REMBAU 4 April – Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak mengambil mudah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, walaupun calonnya, Datuk Seri Mohamad Hasan mempunyai peluang besar untuk menang.
Ingatan itu disuarakan oleh Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mahu mereka bekerja kuat sehingga hari mengundi pada 13 April.
“Orang ramai sudah kenal Tok Mat (Mohamad) dan penerimaan mereka baik, dia banyak buat sumbangan dan orang tak lupa jasanya.
“Tetapi jentera BN jangan ambil mudah, pastikan apa juga perkara yang dibangkitkan lawan dari hari ini sampai 13 April dapat kita jawab dan patahkan,” katanya kepada pemberita selepas Program Minum Petang Bersama Pengundi di Warung Simpang, Kuala Sawah di sini hari ini.
Hishammuddin berkata, berdasarkan tinjauannya hari ini, penduduk di kawasan itu terus menyokong Mohamad dan BN.
“Saya turun hari ini sebab saya nak tengok sendiri betul ke penerimaan orang ramai terhadap calon kita. Terbukti betul orang Rantau kenal beliau,” katanya.
Beliau berkata, walaupun banyak jentera parti datang berkempen, namun keputusan terbaik bagi PRK itu akan ditentukan oleh orang Rantau sendiri. – UTUSAN ONLINE











