KUALA LUMPUR 1 April – Kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas melibatkan empat kementerian bagi menangani isu pendatang asing yang memonopoli perniagaan di pasar, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.
Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan melibatkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, penubuhan jawatankuasa itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu dengan tindakan secara kolektif oleh kementerian terlibat diperlukan bagi menangani masalah peniaga warga asing di pasar borong dan pasar harian.
‘‘Isu utama yang dikenal pasti adalah kenaikan harga barang, orang tengah yang mengambil keuntungan berlebihan, keselamatan, persaingan dengan peniaga tempatan dan impaknya kepada pengguna, petani, penternak dan nelayan,’’ katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau berkata, jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan pendekatan yang perlu diambil. – BERNAMA











