Isu PIP, pencemaran alam sekitar dijangka hangatkan sidang DUN - Utusan Malaysia

Isu PIP, pencemaran alam sekitar dijangka hangatkan sidang DUN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 26 April – Isu Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang bernilai RM46 bilion serta komponennya iaitu projek Lebuh Raya Pan Island Link 1 (PIL 1) serta projek tambak laut di perairan selatan(PSR) negeri ini dijangka menghangatkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.

Dibuka secara rasmi oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas hari ini, sidang yang dijangka berakhir 6 Mei itu juga akan dipanaskan dengan isu pencemaran alam sekitar yang seolah-olah tiada kesudahan di negeri ini.

Ketua Pembangkang, Muhamad Yusoff Mohd. Noor berkata, walaupun barisan pembangkang hanya diwakili tiga orang termasuk beliau, namun ia tidak menjadikan suara pembangkang tenggelam di dalam sidang DUN.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita akan tetap berperanan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan negeri yang mana kegelisahan rakyat berhubung pelbagai isu yang melanda negeri akan kita bawa dalam sidang DUN kali ini.

“Isu berkaitan projek PIP, PIL 1 dan PSR yang dikhuatiri akan mendatangkan impak kepada rakyat menerusi pencemaran alam sekitar akan kita suarakan kepada kerajaan negeri,” katanya di sini hari ini.

Selain Muhamad Yusoff, barisan pembangkang turut terdiri daripada Nor Hafizah Othman (BN-Permatang Berangan) serta seorang wakil Pas dari DUN Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah.

Menurut Muhamad Yusoff, kerajaan negeri tidak sewajarnya hanya mementingkan pemaju swasta menerusi projek-projek tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan negeri juga perlu prihatin kepada nasib rakyat terutama golongan nelayan yang akan menerima tempias akibat pelaksanaan projek itu.

Tambahnya, selain isu projek mega tersebut, barisan pembangkang juga akan bersuara mengenai isu-isu berkaitan agama Islam yang akan dibangkitkan oleh Mohd. Yusni.

Dalam pada itu, seorang lagi wakil pembangkang, Nor Hafizah berkata, beliau akan membangkitkan isu mengenai pelaburan langsung asing (FDI) dan kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

“Saya juga akan membangkitkan isu pencemaran alam sekitar akibat daripada pembuangan sisa najis babi ke dalam sungai di kawasan DUN saya yang sehingga kini masih belum diselesaikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini