Insiden lombong: Jawatankuasa siasatan sependapat ia satu kejadian tidak dijangka - Utusan Malaysia

Insiden lombong: Jawatankuasa siasatan sependapat ia satu kejadian tidak dijangka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 14 April – Jawatankuasa siasatan berkenaan kes kematian enam anggota bomba semasa operasi mencari dan menyelamat di lombong Taman Putra Perdana, Selangor bersependapat bahawa insiden pada 3 Oktober tahun lalu itu adalah suatu kejadian yang tidak dijangka.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan (KPKT) dalam satu kenyataan di sini hari ini memberitahu, insiden berkenaan berlaku berpunca daripada pelbagai faktor yang wujud sebelum dan semasa kejadian.

Jelas kementerian, faktor-faktor yang terlibat menurut jawatankuasa berkenaan merangkumi beberapa aspek iaitu persekitaran, manusia, peralatan, polisi atau prosedur serta faktor-faktor lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Antara dapatan jawatankuasa terhadap punca insiden ini adalah ketiadaan sistem penyiasatan insiden lemas dan langkah pencegahan yang bersepadu sebelum ini.

“Jawatankuasa turut mendapati risiko dinamika ‘low head dam’ atau LHD kurang diketahui oleh orang awam dan anggota-anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang terlibat. Ini kerana, morfologi LHD yang kelihatan tenang dan tidak berbahaya sedangkan ia amat berisiko tinggi,” katanya.

Keenam-enam yang terkorban terdiri daripada empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, sementara dua lagi mangsa dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dikenali sebagai Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Dalam pada itu, kementerian memberitahu, jawatankuasa juga mendapati terdapat faktor kurangnya kefahaman anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terlibat terhadap risiko dinamik LHD, telah mengakibatkan insiden malang tersebut berlaku.

Selain itu jelasnya, berlaku kekeliruan komunikasi dalam kalangan pasukan penyelamat manakala pelan tindakan kecemasan tidak berfungsi seperti yang dirancang.

“Berdasarkan fakta siasatan dan penelitian, Jawatankuasa mendapati bahawa tiada unsur kecuaian atau pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang disengajakan oleh anggota JBPM dalam insiden malang ini.

“Oleh itu, kementerian serta agensi-agensi yang terlibat akan melaksanakan penambahbaikan sebagaimana cadangan jawatankuasa ini,” katanya.

Antara cadangan yang dikemukakan tambahnya, adalah untuk mengkaji semula atau menambah baik reka bentuk struktur LHD dengan mengambil kira pelbagai aspek keselamatan orang awam dan alam sekitar serta mengikut piawaian keselamatan bagi meminimumkan dinamik risiko LHD.

Jawatankuasa katanya, mencadangkan agar peralatan dan kelengkapan unit khas JBPM, dalam kes itu melibatkan PPDA dinaik taraf bagi membolehkan mereka memberi perkhidmatan terbaik.

Yang turut dicadangkan jelas kementerian, adalah agar langkah-langkah keselamatan dan pencegahan seperti pemasangan pagar serta papan tanda amaran dilaksanakan supaya insiden lemas dapat diminimumkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pihak yang bertanggung jawab terhadap kawasan LHD, kawasan rekreasi atau badan air yang berisiko.

“Mereka perlu mewujudkan sistem penyiasatan insiden kelemasan secara bersepadu serta melaksanakan latihan kolaborasi strategik antara agensi penyelamat dengan segera. Selain itu, mereka perlu menyemak semula SOP dan garis panduan sedia ada serta memperkasakan peranan Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) bagi tujuan meningkatkan kesedaran masyarakat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini