iMAQIS perkasa kawalan import eksport komoditi pertanian - Utusan Malaysia

iMAQIS perkasa kawalan import eksport komoditi pertanian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 2 April – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) melancarkan MAQIS Integrated Information System (iMAQIS) bagi memperkasa kawalan import dan eksport komoditi pertanian negara.

Sistem iMAQIS akan menjadi sistem ‘big data’ dalam mengumpulkan pelbagai data aktiviti dan operasi Jabatan MAQIS.

Antara ciri-ciri yang terdapat dalam sistem ini adalah penggunaan Kod QR pada permit MAQIS yang akan membolehkan pegawai penguatkuasa menyemak maklumat dengan dagangan dengan cepat dan mengelakkan pemalsuan permit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelancaran iMAQIS telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin. Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian, Dr. Zunika binti Mohamed dan Ketua Pengarah Jabatan MAQIS, Saiful Yazan Alwi.

Tze Tzin berkata, sistem baharu itu akan menjadi nilai tambah kepada operasi di pintu masuk MAQIS di seluruh negara.

“Jabatan MAQIS merupakan badan penguatkuasa yang telah dipertanggungjawabkan sebagai benteng utama bagi jaminan bekalan dan keselamatan makanan negara, dengan memastikan setiap keluaran pertanian dan produk agromakanan yang diimport adalah selamat, berkualiti dan halal untuk kesejahteraan rakyat.

“Justeru itu, Jabatan MAQIS perlu meningkatkan keberkesanan operasi di pintu-pintu masuk dengan mempunyai sebuah sistem yang berteknologi tinggi dan mampu menyokong operasi harian kawalan di pintu sempadan seterusnya menghalang berlakunya sebarang aktiviti penyeludupan dalam negara,” katanya berucap dalam majlis pelancaran itu bersempena Hari Bertemu Pelanggan Jabatan MAQIS di Dewan Serbaguna, Wisma Tani di sini hari ini.

Tze Tzin berkata, tahun lalu, Jabatan MAQIS telah memproses sebanyak 554,461 permit import dan eksport komoditi pertanian dengan kuantiti 37 juta tan matrik dengan nilai dagangan berjumlah RM133 bilion.

Sehubungan itu, beliau berharap agar sistem iMAQIS ini akan terus menjadikan Jabatan MAQIS sebagai contoh kepada Jabatan dan agensi berkaitan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Sebuah sistem yang baik dalam menyediakan perkhidmatan perdagangan terutamanya dalam sektor pertanian akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam, selaras dengan matlamat kerajaan ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini